
p/s : sahabat-sahabat ramai bertanyakan saya tentang sejarah penubuhan.. jadi di sini ada sedikit info yang boleh dikongsi. Secara mudahnya ia tumbuh betul-betul di atas dasar perjuangan antara haq dan batil,yang pertama mengisi perjuangan para ulama' sejak sebelum zaman kemerdekaan, dan memulakan perjuangan menentang maksiat dan thaghut. sudah ramai mereka yang dibunuh,dipenjara,di ISA kan,di AUKU hanya kerana ingin melihat islam itu tinggi. Maka, Siapalah kita tanpa sejarah =)
SOROTAN SEJARAH PAS DAN KEMERDEKAAN
Oleh : MOHD FADLI GHANI Pengarah Arkib dan Perpustakaan Yusof Rawa
Para sarjana yang mengkaji tentang PAS kebanyakkannya mengatakan asal mula atau origin perjuangan PAS ialah kemunculan gerakan reformis Islam yang ditandai oleh penerbitan al-Imam pada 1906. Tulisan ini tidak bertujuan untuk menolak pandangan para sarjana terdahulu, tetapi cuba untuk melihat lebih jauh kepada asal mula perjuangan ulamak yang akhirnya melahirkan PAS sebagai satu najitah perjuangan yang lebih tersusun dan jelas matlamatnya. PAS bukanlah satu organisasi atau parti yang muncul secara tiba-tiba atau parti reaktif seperti Umno, tetapi merupakan lanjutan kepada kesedaran para ulamak untuk mempertahankan kemerdekaan negara semenjak 450 dahulu. Ulamak yang memahami tabiat perjuangan Islam telah awal-awal lagi bangkit untuk menyekat gerakan penjajah di mana-mana sahaja.
Di Tanah Melayu, perjuangan para ulamak itu bermula semenjak usaha mempertahankan Melaka kemudian berterusan hingga Melaka jatuh ke tangan Belanda pada 1641. Tetapi hal ini tidak dirakamkan secara meluas dan objektif dalam catatan sejarah negara. Dan perjuangan ulamak Pattani selama lebih 300 tahun dalam mempertahankan kemerdekaan negara juga disembunyi begitu sahaja. Sepatutnya perjuangan para ulamak ini diangkat oleh sejarah negara sebagai satu perjuangan dalam mempertahankan kemerdekaan negara. Selepas gagal mempertahankan Pattani dalam Musuh Pattani pada 1830-an, para ulamak Pattani telah berhijrah ke Kelantan, Terengganu, Kedah dan Mekah. Selepas itu, negeri-negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu menjadi pusat pengajian Islam, selain Mekah. Sheikh Ahmad al-Fathani, ulamak Melayu terkenal di Mekah kemudian mempelopori gerakan kemerdekaan secara tersusun melibatkan gerakan media, percetakan, pendidikan dan organisasi, sehingga orang Melayu mulai bangkit pada awal abad ke-20. Jika diteliti, tokoh-tokoh yang bergiat dalam politik dan pendidikan di Nusantara pada awal 1920-an, hampir semuanya mempunyai hubungan dengan Sheikh Ahmad al-Fathani .
Jika diamati pergerakan para ulamak dalam mempertahankan kemerdekaan bumi Melayu, khususnya seluruh Nusantara ini, kita akan dapati bahawa keseluruhan perjuangan menentang penjajah adalah dipimpin oleh ulamak. Pengeran Diponegoro yang terkenal dalam sejarah Indonesia telah melancarkan jihad ke atas Belanda di Jawa pada 1825 hingga 1830 dengan dorongan dan dukungan ulamak seperti Kiyai Mojo, Kiyai Kasan Basri, Kiyai Ghazali dan lain-lain. Di Banjarmasin, penglibatan para ulamak seperti Haji Buyasin, Haji Mahmud, Haji Muhammad Asrip, Haji Muhamad Khalid, Haji Muhamad Yusof, Haji Muhamad Nafis dan Haji Jala yang melancarkan jihad ke atas Belanda antara 1859 hingga 1863. Keadaan yang sama juga berlaku di Banten apabila Maulana Judah dan Kiyai Dukuh mempengaruhi Sultan Banten melancarkan jihad ke atas orang-orang Hindu di Pajajaran dan Palembang. Sebelum itu, Kiyai Embun pernah merangsang jihad ke atas Belanda di Banten antara 1683-1706. Pemberontakan petani ke atas Belanda di Cilegon pada 1888 juga hasil kegiatan ulamak seperti Kiyai Abdul Karim yang memimpin Tarekat Qadariyah melakukan penentangan. Pendukung Tarekat Samaniah pula melakukan jihad ke atas Belanda di Palembang pada 1811-1822.
Yang disebut di atas hanya sebahagian kecil kebangkitan jihad ke atas penjajah di Indonesia yang tidak popular. Pemberontakan yang terkenal seperti Perang Paderi pimpinan Imam Bonjol di Minangkabau, gerakan Sheikh Yusof Tajul Khalwati di Makasar, Wali Songo di Jawa dan Teuku Cik di Tiro di Acheh telah banyak diperkatakan orang. Di tempat-tempat lain seperti Kemboja yang terkenal dengan jihad pimpinan ulamak seperti Pa Rome dan Katip Sumat (Khatib Abdul Samad) ke atas penjajahan orang Vietnam serta gerakan Raja Sulu yang juga seorang ulamak, Sultan Azimuddin juga melancarkan jihad ke atas Sepanyol pada 1760-an untuk menyekat Kristianisasi. Perjuangan para ulamak juga dikesan berlaku di Manguindanao, Mataram, Pasai, Gowa, Pattani dan lain-lain yang berdepan dengan penjajah seperti Sepanyol, Portugis, Belanda, Vietnam dan juga Siam. Selain menggunakan hikayat-hikayat seperti Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Ali Hanafiah untuk merangsang jihah ke atas penjajah, gerakan jihad fi sabilillah juga menggunakan syair seperti Syair Perang Sabil di Acheh, Syair Jayabaya di Mataram, Syair Perang Siak di Siak dan sebagainya. Bahkan ulamak di Mindanao memperkenalkan konsep ‘Juramentado’ iaitu satu fahaman sanggup mati kerana menentang orang ‘kafil’ (kafir).
Daripada gerakan jihad yang dilancarkan oleh para ulamak di seluruh Nusantara, khasnya di Tanah Melayu semenjak kejatuhan Melaka pada 1511 hinggalah kepada jatuhnya Pattani ke tangan Siam 1832, dapat disimpulkan bahawa penglibatan para ulamak dalam perjuangan mempertahan dan menuntut kemerdekaan mendahului perjuangan yang ditaja oleh golongan-golongan lain. Setidak-tidaknya dapat disimpulkan bahawa perjuangan kemerdekaan para ulamak mempunyai beberapa ciri antaranya, i) ulamaklah yang terawal mempelopori perjuangan kemerdekaan; ii) para ulamak tidak pernah mempertimbangkan soal kebangsaan dan kenegerian dalam perjuangan kemerdekaan seperti mana Sheikh Mas’ud al-Banjari dari Banjarmasin, Sheikh Daud al-Fathani dari Pattani dan Sheikh Abdul Samad al-Falembani dari Palembang berjihad mempertahankan Kedah daripada serangan Siam pada 1832; iii) para ulamak tidak hanya bercakap atau menulis sahaja tentang kewajipan berjihad, sebaliknya mereka sendiri turun ke medan jihad dan sebahagian daripada mereka telah syahid; dan iv) para pemerintah dan sultan Melayu sama ada berdiri sebagai ulamak atau mendengar nasihat ulamak dalam mempertahankan kemerdekaan tanah air.
Kesan daripada perjuangan yang berusia ratusan tahun ini, selepas kekalahan Pattani pada 1832, para ulamak mulai berhijrah ke Mekah dan menyusun strategi baru dalam perjuangan kemerdekaan. Seorang tokoh ulamak yang paling menonjol dalam usaha memerdekakan Tanah Melayu ialah Sheikh Ahmad al-Fathani. Beliau telah mengkader ulamak-ulamak Melayu untuk menjadi jentera penggerakan perjuangan membebaskan tanah air. Penglibatan murid-murid beliau dalam dunia pendidikan sama ada di pondok atau madrasah, percetakan, penerbitan majalah, dakwah dan jihad bersenjata ke atas penjajah cukup luas pada akhir 1890-an dan awal 1900. Daripada usaha Sheikh Ahmad al-Fathani mengkaderkan Sheikh Tahir Jalaluddin, Sheikh Abbas Taha dan Syed Sheikh al-Hadi telah melahirkan majalah al-Imam yang terkenal itu pada 1906 – tahun yang dipersetujui semua sarjana sebagai bermulanya nasionalisme Melayu. Selain gerakan ulama melalui media, pendidikan dan penulisan, gerakan yang lebih berkesan dan mempunyai hubungan langsung dengan PAS ialah usaha Sheikh Ahmad al-Fathani menubuhkan Jam’iyah al-Fathaniyah di Mekah pada 1873 yang menjadi persatuan pertama orang Melayu yang dianggotai oleh ulamak-ulamak dan pelajar Melayu di Mekah. Seorang murid Sheikh Ahmad al-Fathani, Raja Ali Kelana Riau telah menubuhkan persatuan yang serupa iaitu Jam’iyah Rusyidiyah di Pulau Penyengat, Riau pada 1880 dengan Syed Sheikh al-Hadi sebagai setiausaha.
Pada 1900, Jam’iyah al-Khairiyah ditubuhkan di Riau mengambil contoh Jam’iyah Rusyidiyah. Jam’iyah Khairiyah mempunyai pengaruh yang kuat sehingga sebuah Jam’iyah Khairiyah ditubuhkan di Jakarta pada 1905. Dahm (1988) mengatakan Jam’iyah Khairiyah inilah yang menjadi asas kepada penubuhan Sarekat Dagang Islam (kemudian Sarekat Islam) pada 1909. Sarekat Islam merupakan parti politik Islam yang pertama dan paling berpengaruh di Indonesia. Pada 1920, Sarekat Islam membuka cawangan di Johor di bawah pimpinan Haji Ibrahim Sidin, diikuti oleh cawangan Beserah pada 1921 yang dikatakan bergerak di bawah pengaruh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong. Cawangan Beserah yang mempunyai 800 ahli lumpuh selepas berakhirnya pemberontakan tani di Terengganu pada 1928. Di Indonesia, Sarekat Islam juga menjadi asas kepada tertubuhnya beberapa organisasi Islam seperti Muhammadiyah dan Nahdatul Ulamak yang kemudiannya menubuhkan Majlis A’la Islam Indonesia sebelum bertukar menjadi Majlis Syura Muslimin (Masyumi) pada 1945.
Menurut Wan Mohd Saghir, Jami’yat Khairiyah di Riau juga telah mempengaruhi penubuhan Jam’iyatul Khairiyah fi Thalabah al-Azhariyah al-Jawiyah di Mesir pada 1923. Tokoh utama Jam’iyatul Khairiyah Mesir ini ialah Kiyai Haji Hashim Asy’ari yang juga murid kepada Sheikh Ahmad al-Fathani. Kiyai Hashim kemudian mengasaskan Nahdatul Ulamak pada 31 Januari 1926. Pada 1932, tokoh pemimpin Jam’iyatul Khairiyah Mesir ialah Sheikh Abu Bakar al-Asa’ary dan Abdul Kahar Muzakkir (Profesor). Sheikh Abu Bakar kemudian terkenal sebagai pemimpin reformis di Malaysia, manakala Profesor Abdul Kahar Muzakkir pula menjadi pemimpin utama Muhammadiyah. Seperti juga Kiyai Hashim Asy’ari yang berguru dengan Sheikh Ahmad al-Fathani, seorang lagi tokoh penting iaitu Kiyai Ahmad Dahlan yang juga belajar di Mekah, mungkin murid Sheikh Ahmad al-Fathani telah menubuhkan Persyarikatan Muhammadiyah pada 18 November 1912 setelah terpengaruh dengan gerakan pembaharuan Islam di Mekah dan Mesir. Turut berada di Mekah pada awal abad ke-20 ialah Kiyai Agus Salim yang menjadi pemimpin Sarekat Islam pada 1915 menggantikan Omar Said Tjokroaminoto. Seorang lagi murid Sheikh Ahmad yang turut menubuhkan persatuan Islam ialah Kiyai Sulaiman Rasuli yang mengasaskan Persatuan Tarbiyah Islamiyah (Perti) di Indonesia.
Di Tanah Melayu, murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang terkenal, Tok Kenali bersama Dato’ Paduka Perdana Menteri Nik Mahmud Nik Ismail telah menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada 1915. Badan ini kemudian menyatukan ulamak-ulamak dan berperanan besar melahirkan generasi pejuang melalui Sekolah MAIK (sekarang Maahad Muhammadi). Tok Kenali juga turut menubuhkan Jam’iyatul al-‘Ashriyyah di Kota Bharu, Kelantan pada 1920, yang menjadi kelab inteligensia Melayu terawal di Kelantan. Jam’iyatul al-‘Ashriyyah ini memberikan idea kepada murid Tok Kenali, Tuan Guru Abdullah Tahir Ahmad adiknya, Tuan Guru Mokhtar Ahmad untuk menubuhkan Jabhat al-Ulamak Kelantan pada 1934 yang bergerak menyatukan ulamak sebelum perang. Tuan Guru Mokhtar Ahmad kemudian menjadi pemimpin Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) cawangan Kelantan pada 1947 sebelum bertukar menjadi Hizbul Muslimin pada 1948. Tuan Guru Mokhtar Ahmad pada 1955 menjadi calon PAS di Pasir Mas, manakala Tuan Guru Haji Abdullah Tahir menjadi ulamak terawal menyertai PAS pada 1954.
Di Kelantan juga, beberapa persatuan telah ditubuhkan oleh kader-kader Sekolah MAIK seperti Abdul Kadir Adabi dan As’ad Shukri Haji Muda yang menubuhkan Kelab Suara Muda dan beberapa persatuan lain sebelum perang dan akhirnya menjadi asas kepada penubuhan Kesatuan Melayu Muda Kelantan pada 1937. Di Singapura, pengaruh Jam’iyatul Rusyidiyah telah berkembang sehingga mendorong penubuhan Persekutuan Darul Adab pada 1890-an, diikuti oleh penubuhan Harbab Ashkedan (atau Hasbab Askedan). Pada 1894, kelab ketiga ditubuhkan di Singapura iaitu Persekutuan Darul Takzim, diikuti oleh Persekutuan Jawa al-Masakin . Roff (1994: 39-43) secara terang-terangan mengakui perkembangan kesedaran berpersatuan di Singapura ini didorong oleh faktor haji dan Mekah. Di Pulau Pinang pula, Muslim Recreation Club ditubuhkan pada 1894. Perkembangan yang berlaku di Singapura telah membentuk kesedaran berpersatuan di kalangan umat Islam. Pada awal 1900, telah ditubuhkan Persekutuan Islam Singapura di bawah Mohd Eunos Abdullah dan Dr Abdul Samad. Pada 1921, ditubuhkan pula Muslim Institute oleh tokoh yang sama. Persekutuan Islam Singapura akhirnya menjadi asas kepada pembentukan Kesatuan Melayu Singapura (KMS) pada 1926 sebagai parti politik Melayu yang pertama di Tanah Melayu. Selepas penubuhan KMS, beberapa parti politik telah ditubuhkan sekitar 1938 di Pahang, Perak dan Selangor. Parti politik bertaraf nasional pertama ditubuhkan ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada 1937 oleh Ibrahim Haji Yaakob.
Sebelum kelahiran KMM, akhbar Saudara yang dipimpin oleh Syed Sheikh al-Hadi telah membuka kelab pembacanya, Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) pada 1934. PASPAM adalah pertubuhan pertama bertaraf nasional walaupun hanya sebagai persatuan bahasa Melayu, tetapi turut memainkan peranan politik di sebalik tabir. PASPAM mempunyai lebih 10,000 ahli meliputi seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura, Sarawak, Sabah dan Labuan. PASPAM mempunyai cawangan di Gunung Semanggol, Perak dan setiausaha cawangannya ialah Haji Ahmad Fuad Hassan, pengasas dan Yang Dipertua Agung PAS pertama. Menyedari keperluan kepada organisasi ulamak yang tersusun di peringkat nasional, Sheikh Abbas Taha telah mencadangkan supaya diwujudkan persatuan orang ulamak yang lebih kukuh seperti Persatuan Ulamak Se-Tanah Melayu dalam majalah Pengasuh pada 1931. Cadangan ini mendapat sokongan Abdul Kadir Adabi di Kelantan tetapi tidak ada usaha tersusun dibuat untuk menggerakkan ulamak di peringkat nasional, sehinggalah Jepun menganjurkan Persidangan Ulamak Malai-Sumatra di Singapura pada 5-6 April 1943. Dalam perjumpaan ini, ulamak Sumatera, Tengku Mohd Hasbi menyindir Jepun dengan cadangannya, “Dan kami percaya akan janji Dai Nippon hendak menolong agama Islam”, tetapi cadangan ini ditolak oleh Senden-Bu (pejabat Propaganda Jepun). Pada hari kedua, satu rapat umum ulamak bersama rakyat diadakan dengan ucapan ketua persidangan, Haji Ali, Qadhi Singapura ditapis oleh Jepun. Tetapi Setiausaha persidangan, Kiyai Haji Chik Wan dari Palembang telah mengambil kesempatan menyampaikan idea-idea politik Islam kepada hadirin.
Ketika Pentadbiran Jepun (Gunsekanbu) berpusat di Taiping, Dr Burhanuddin al-Helmy sebagai Penasihat Adat Kebudayaan Melayu telah mencadangkan persidangan ulamak diadakan sekali lagi oleh Jepun. Gagasan Dr Burhanuddin diterima oleh Jepun dan satu Persidangan Majlis Agama Se-Malaya pada 12 Disember 1944. Persidangan yang diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar ini telah dihadiri oleh wakil-wakil Majlis Agama Negeri, para ulama, mufti, dan wakil-wakil institut pengajian Islam dari seluruh Tanah Melayu. Antara pemimpin Islam ternama yang hadir dalam persidangan ini ialah Sheikh Hassan Yamani, Mufti Terengganu dan Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan (bekas Pesuruhjaya Agama Terengganu) yang mewakili Majlis Agama Islam Terengganu. Wakil dari Majlis Agama Selangor, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Shonan-To (Singapura), Melaka dan Pulau Pinang turut hadir. Persidangan ini juga telah berjaya menubuhkan Majlis Agama Serantau yang bertujuan mewujudkan perpaduan di kalangan majlis-majlis agama dan menyelaraskan beberapa perkara tentang umat Islam seperti hari raya, tarikh puasa, fatwa dan sebagainya. Pihak Jepun memberikan kebenaran untuk menubuhkan majlis ini kerana yakin ia tidak diperalatkan bagi tujuan politik radikal seperti Masyumi di Indonesia. Tetapi apabila Dr Burhanuddin al-Helmy merancang persidangan serupa pada 1945, ia ditolak oleh Jepun kerana bimbangkan gerakan politik para ulamak.
Selepas Perang Dunia Kedua, pergerakan ulamak dalam memperjuangkan kemerdekaan menjadi lebih tersusun dan bersifat nasional. Pada mulanya ulamak bergerak dalam PKMM, tetapi menubuhkan MATA di Gunung Semanggol pada 24 Mac 1947. Ulamak bergerak aktif memperjuangkan hak-hak orang Islam dan membangunkan pendidikan melalui Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR), serta ekonomi ummmah di bawah Pusat Perekonomian Melayu Se-Malaya (PEPERMAS). Setahun kemudian, MATA telah menubuhkan Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948 dengan dasar “Islam semata-mata bagi mencapai kemerdekaan bangsa Melayu yang berdaulat” . Gerakan ulamak berpusat di Gunung Semanggol yang diketuai oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir ini diakui oleh Nabir Abdullah (1976) dipengaruhi oleh Masyumi, parti Islam dari Indonesia. Sokongan padu umat Islam terhadap usaha ulamak memerdekakan Tanah Melayu telah membimbangkan British dan juga Umno. Dato’ Onn Jaafar pernah membayangkan kebimbangan beliau terhadap Hizbul Muslimin, katanya, “saya tidak melarang tetapi saya tidak sudi membenarkan (orang Umno ke Gunung Semanggol) … Bahaya dari Gunung itu masih ada lagi dan ditambah pula satu merbahaya lagi (Hizbul Muslimin) yang tumbuh dari tanah dan menjalar akarnya supaya orang-orang Melayu terhapus dan terjatuh kerana sebenar-benarnya parti Islam itu ‘merah’ . Hal ini dijawab oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir, “umat Islam perlu bergerak dengan faham Islam yang tepat… sekiranya jatuh pertubuhan Hizbul Muslimin kita ini, bererti kejatuhan agama kita dan bererti juga kejatuhan umat Islam Malaya” .
Kerana ancaman Hizbul Muslimin dengan gagasan “Darul Islam”nya, British telah bertindak menangkap Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan beberapa ulamak Gunung Semanggol pada 29 Julai 1948 di bawah Ordinan Darurat. Penangkapan ini telah melumpuhkan Hizbul Muslimin seluruhnya. Para ulamak yang dahulunya bergiat dalam Hizbul Muslimin mengambil beberapa sikap antaranya menyertai Bahagian Agama Umno. Tokoh-tokoh ulamak seperti Sheikh Abdullah Fahim, Tuan Guru Haji Hussin Che Dol, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan, Sulaiman Palestin, Haji Ahmad Maliki, Haji Ahmad Mahir Perak dan lain-lain. Tetapi pergerakan ulamak dalam Umno bukan sahaja terbatas, bahkan terpaksa melayan tindakan pemimpin Umno yang bertentangan dengan Islam. Beberapa tindakan pemimpin Umno seperti bekerjasama dengan British, mengabaikan aqidah umat Islam dalam isu Natrah, menganjurkan judi loteri, fun fair dan kaberet. Ulamak-ulamak tidak mendapat peluang untuk menegur pemimpin Umno yang sudah melampaui batasan agama. Dalam soal kemerdekaan, Umno langsung tidak membicarakannya kerana bagi Umno mereka hanya mahu mempertahankan Raja-raja Melayu dengan slogan “Hidup Melayu”nya. Sedangkan para ulamak mahu slogan “Merdeka” dilaungkan dan Islam dijadikan asas dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.
Menyedari masalah ini semakin membarah, para ulamak mula mendesak Umno supaya diadakan perjumpaan alim ulamak untuk membincangkan masalah umat. Pada Februari 1950, atas tajaan Umno para ulamak telah bersidang di Kelab Melayu Muar dan antara lain memutuskan keperluan menubuhkan sebuah badan dakwah ulamak yang dinamakan Jam’iyah ad-Dakwah al-Islamiyah. Selepas persidangan ini, tidak ada sebarang tindakan konkrit daripada Umno terhadap resolusi-resolusi yang dibuat oleh ulamak terutama yang melibatan kepentingan umat Islam. Ketua Bahagian Agama Umno, Haji Ahmad Fuad kemudian menulis dalam Suara Umno tentang keperluan ulamak mempunyai persatuan sendiri. Kesan daripada tulisan ini, Umno bersetuju untuk mengadakan Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua pada 23 Ogos 1951 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Dalam persidangan ini, usul Haji Ahmad Fuad untuk menubuhkan Persatuan Ulamak Se-Malaya diterima dan satu Jawatankuasa Penggubal Undang-undang Tubuh Persatuan Ulamak dibentuk dengan diketuai oleh Haji Ahmad Fuad sendiri. Pada 24 November 1951, Persidangan Ulamak Se-Malaya anjuran Persatuan Ulamak Se-Malaya tanpa penglibatan Umno diadakan di Kelab Melayu Bagan, Bagan Tuan Kecil (Butterworth). Para ulamak yang bersidang itu kemudiannya bersetuju supaya nama persatuan ini ditukar kepada Persatuan Islam Se-Malaya atau PAS .
0 comments:
Post a Comment