Friday, February 13, 2009

valentine's day; apa yang perlu kita tahu..


PENGENALAN :



Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya. Saban tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ianya seperti menuang air ke daun keladi. Oleh itu penulis melihat begitu pentingnya untuk mengupas sejarah sambutan Hari Valentine ini agar ianya dapat menyedarkan muda-mudi kita yang hanyut di lautan cinta bahawa ianya adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.


SEJARAH SAMBUTAN HARI VALENTINE


Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine maka kita akan dapati bahawa terdapat 3 pendapat berkaitan dengan asal usul hari tersebut. Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13hb hingga 18hb Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih 2 pemuda Rom yang dianggap paling gagah lalu disapukan darah binatang tersebut ke badan mereka dan mencucinya pula dengan susu.Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai 2 pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka. Sebenarnya ada 2 lagi faktor sejarah berdasarkan asal usul valentine, tetapi penulis tidak nukilkan di sini kerana ruangan agak terhad serta perkara tersebut langsung tiada kaitan dengan dunia muslim seperti contoh di atas. Jadi, adakah kita masih lagi mahu menyambutnya?


HUKUM MENYAMBUT HARI VALENTINE


Sebagaimana yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini sebagaimana yang firman Allah S.W.T.: Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. al-Hajj : 67. Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya.


Terdapat larangan dari baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang kafir dan bagi mereka yang meniru budaya orang kafir maka ditakuti dia akan tergolong ke dalam golongan tersebut. Sabdanya: Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. - (Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512). Apabila seseorang menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan orang kafir. Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal. Tidak dapat dinafikan sambutan Hari Valentine ini sebenarnya membuka pintu perzinaan. Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Valentine adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam dan hendaklah pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang budaya orang kafir ini dari diamalkan oleh umat Islam di Malaysia. Media Massa sepatutnya dihalang dari menguar-uarkan sambutan Hari Valentine ini kepada rakyat di sebuah negara Islam seperti Malaysia ini malah ianya sepatutnya dipergunakan untuk menyebarkan fatwa-fatwa para ulamak yang mengharamkan sambutan Hari Valentine.


KESIMPULAN


Justeru itu dapat kita rumuskan bahawa sikap orang Islam terutamanya generasi muda berbangsa Melayu di Malaysia ini menyambut Hari Valentine adalah semata-mata bertujuan untuk meniru budaya hedonis yang diimport dari barat. Maka kita melihat generasi muda Melayu berebut-rebut untuk mengamalkan gaya hidup orang barat. Sedarlah wahai pemuda-pemudi Melayu, walau sehebat mana kamu meniru gaya hidup barat, mereka tetap melihat kamu sebagai orang Asia yang datang dari dunia ke 3 yang rendah martabatnya berbanding dengan mereka. Mereka tidak akan melihat kamu sekalian sebagai setaraf dengan mereka walaupun kamu bersungguh-sunguh ingin mencontohi cara hidup mereka. Oleh itu hendaklah bangsa Melayu berbangga dengan apa yang telah ada pada agama serta adat resam bangsa mereka dan janganlah kita terlalu dikelabui dengan kehidupan duniawi yang berkiblatkan barat seperti sambutan Hari Valentine ini.


(dipetik & diubahsuai dari laman web fatwa JAKIM)

0 comments: